Cadangan Kerajaan Ambil Alih PLUS Langkah Salah

PETALING JAYA – Satu cadangan dikemukakan kepada kerajaan supaya Putrajaya mengambil alih PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) pada harga RM35 bilion, termasuk liabiliti pemegang konsesi itu.

Bagaimanapun sumber yang maklum berhubung perkembangan itu berkata, ia merupakan “satu idea yang sangat buruk”.

Bercakap kepada FMT, sumber yang enggan dikenali berkata, kerajaan tidak berminat dengan bidaan yang dikemukakan oleh beberapa ahli perniagaan kerana ia terlalu rendah dan kerajaan pula masih perlu menjamin liabiliti PLUS.

Setakat ini, bekas bos Renong Halim Saad, ahli perniagaan terkenal Wong Gian Kui, Maju Holdings Sdn Bhd dan firma ekuiti berpangkalan di Hong Kong RRJ Capital telah mengemukakan bidaan masing-masing untuk mengambil alih PLUS.

“Baru-baru ini, sebuah kementerian mengemukakan satu cadangan untuk menggunakan sebuah SPV kerajaan persekutuan untuk mengambil alih PLUS.

“Sejauh kefahaman saya, ia tidak diluluskan oleh lembaga pengarah Khazanah Nasional (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).”

PLUS dimiliki oleh Khazanah (51 peratus) dan KWSP (49 peratus).

Menurut cadangan itu, PLUS, yang kini dimiliki oleh kerajaan, akan dilanjutkan tempoh konsesinya selama 20 tahun dari 2038 ke 2058. Timbal balasnya ialah pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun sebanyak 18 peratus.

Sumber berkata, kadar tol juga tidak akan dinaikkan dan kerajaan juga tidak perlu membayar pampasan berjumlah berbilion ringgit.

“Bagaimanapun cadangan ini tidak masuk akal. Kerajaan kini telah sedia banyak hutang, RM35 bilion itu boleh digunakan untuk membina sekolah, hospital, jalan dan jambatan. Kenapa tambah lagi hutang?”

Sumber juga berkata, tidak jelas sekiranya diskaun 18 peratus itu ditetapkan sepanjang hari atau hanya terpakai pada masa bukan puncak seperti pengambilalihan empat tol dalam bandar oleh Gamuda Bhd.

“Lebih buruk ialah tempoh kutipan tol akan dilanjutkan selama 20 tahun lagi, bukannya menamatkannya pada 2038.”

Katanya, cadangan itu akan menjadi langkah bunuh diri politik kepada Pakatan Harapan (PH) kerana tidak ada sebab munasabah bagi kerajaan untuk terus mengutip tol setelah berjanji untuk menghapuskannya.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika kerajaan PH berdepan realiti pahit menghapuskan kutipan tol dan membiarkan konsesinya tamat setelah berjanji untuk berbuat demikian sebelum ini.

Sumber juga berkata, dengan dasar kerajaan yang menggalakkan pengangkutan awam dan pembinaan laluan keretapi, langkah mengambil alih lebuhraya bertol dan menambah hutang kerajaan lebih RM30 bilion adalah tidak masuk akal.

“Bagi saya, pihak yang mendapat manfaat daripada cadangan pengambilalihan itu, termasuk ambil alih empat tol dalam bandar sebelum ini hanyalah pemegang konsesi, bukannya rakyat.” – FMT

Loading...