Cadangan Jawatan Tertinggi Bersatu Tidak Dipertandingkan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pemimpin bahagian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mencadangkan agar ketiga-tiga jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dalam perhimpunan agung parti itu pada November tahun ini.

Tiga jawatan itu ialah Pengerusi yang disandang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, presiden yang dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presiden yang disandang oleh Mukhriz sendiri.

“Bagaimanapun sekiranya ada pencalonan bagi ketiga-tiga jawatan itu maka ia akan ditandingi,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan parlimen pada Selasa.

“Tetapi terdapat cadangan di peringkat akar umbi yang tidak menggalakkan pertandingan sekurang-kurangnya bagi jawatan pengerusi. Ini menandakan kita masih mahukan beliau (Dr Mahathir) sebagai pengerusi,” tambah beliau.

Beliau berkata sehingga kini belum ada tanda sesiapa yang berhasrat mencabar Dr. Mahathir bagi jawatan itu (pengerusi).

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata mesyuarat agung luar biasa parti itu yang akan diadakan pada 20 Julai adalah untuk meminda perlembagaan parti dan beliau akan turun padang mulai minggu depan bagi menerangkan kepada ahli parti tentang cadangan pindaan itu.