Cadangan Henti Skim Pencen Masih Dalam Kajian

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menghentikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam bagi lantikan baharu bermula tahun hadapan masih dalam peringkat kajian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya difahamkan ia akan dibawa dan diangkat kepada Kabinet untuk mendapatkan persetujuan atau pun tidak… kita akan bincangkan lebih lanjut lagi.

“Namun ia belum lagi diberi kepada Kabinet… kita akan perincikan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Women in Business (WinBiz) yang diperkenalkan Bank Islam sebagai penyelesaian kewangan baharu yang dikhususkan bagi usahawan wanita di bawah segmen perniagaan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mulai tahun hadapan, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambahbaik.

Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.