Cadangan Benarkan Pembekal Elektrik Baharu Masuk Pasaran

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini sedang mengkaji cadangan sama ada untuk membenarkan pembekal elektrik baharu memasuki pasaran sebagai alternatif kepada pengguna di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam satu jawapan bertulis Parlimen bertarikh 3 Julai memberitahu keputusan mengenai perkara itu akan diketahui tidak lama lagi.

Menurutnya, jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan rancangan tersebut, ini bermakna Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan lagi menjadi pilihan tunggal untuk pengguna di Semenanjung Malaysia mendapatkan bekalan elektrik.

“Kementerian sedang meneliti dan mengkaji cadangan untuk membuka sektor peruncitan elektrik bagi membolehkan pengguna memilih pembekal elektrik selain daripada TNB,” katanya.

Terdahulu, soalan dikemukakan Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin mengetahui sama ada sektor itu akan diliberalisasikan untuk mempromosikan tarif yang lebih kompetitif.

Menurut jawapan bertulis itu lagi, kementerian juga sedang menjalankan satu kajian bagi menentukan sama ada pembukaan pasaran runcit elektrik dapat memastikan perkhidmatan bekalan elektrik disediakan pada kadar tarif yang lebih kompetitif untuk pengguna.

“Kementerian dijangka membentangkan hasil kajian tersebut kepada jemaah menteri dalam tempoh terdekat bagi membolehkan hala tuju industri pembekalan elektrik ditetapkan,” katanya.

Loading...