Cabul: Bekas Pegawai Khas Adun DAP Kena Bela Diri

GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang bekas pegawai khas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP membela diri atas pertuduhan mencabul seorang wanita, tahun lalu.

Majistret Jamaliah Abd Manap membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh L.Prem Anand.51, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Jan depan untuk tertuduh membela diri.

Pada 18 Julai tahun lalu, Prem Anand didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang wanita berumur 22 tahun di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai di sini, kira-kira jam 11.30 malam , 6 Julai tahun lepas.

Prem Anand yang merupakan bekas pegawai khas Adun Paya Terubong didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua dari mana-mana hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shafiq Mohd Sazali dan tertuduh diwakili peguam E.Gnasegaran. – BERNAMA