Busker Sengaja Bising Punca Himpunan Kecoh

BONGKAR… Perhimpunan Pengebumian Institusi Peguam Negara di ibu kota malam tadi kecoh apabila kumpulan busker dilihat sengaja cetus provokasi dan enggan perlahankan pembesar suara.

Walhal himpunan secara aman dihadiri kira-kira 300 orang bermula jam 9 malam itu berjalan lancar sementara menunggu Pengerusi Pemantau Malaysia Baru (PMB), Datuk Lokman Noor Adam selesai membuat laporan polis.

Sebaik beliau sampai di pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan ingin memberikan ucapan, busker tersebut jelas kelihatan ‘sengaja’ menguatkan pembesar suara peralatan muzik dan nyanyian mereka.

Lokman kemudian dilihat cuba memberi sedikit masa kepada pihak polis untuk meminta kumpulan penghibur jalanan tersebut untuk memperlahankan muzik, namun tiada perubahan dan muzik semakin kuat dibunyikan.

Beliau membuat keputusan untuk berarak ke depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Jalan Dang Wangi pula untuk mengadakan sesi sidang media, namun ia dihalang pihak polis dan tercetus kekecohan.

Aksi kekecohan tidak dijangka itu berterusan selama 20 minit kerana halangan keras daripada pihak polis yang turut bertindak mengoyak laporan polis dan biadab mematahkan ‘mikrofon’ yang digunakan pihak penganjur.

Persoalannya, siapakah pihak di belakang busker itu sehingga berani bertindak kurang ajar dan kenapa polis begitu ‘tegas’ sedangkan sebelum ini tidak pernah berlaku pergelutan melainkan peserta demonstrasi membuat provokasi.

Adakah permintaan Lokman untuk berarak ke IPD Dang Wangi itu dianggap sebagai provokasi sedangkan pihak penganjur telah meminta jasa baik kumpulan penghibur itu memperlahankan muzik mereka dengan bantuan polis.

Lokman semasa ditemui media melahirkan rasa kecewanya terhadap pihak polis yang bertindak sedemikian termasuk mereka mengoyak laporan dibuatnya supaya beliau tidak dapat membaca apa ditulis di IPD tersebut.

“Berpuluh demonstrasi kita pergi, kebiasaannya pihak polis akan meminta beberapa orang peserta sahaja untuk pergi (ke balai dan buat sidang media), tapi tadi tidak buat begitu. Jika SOP itu dilaksanakan, pasti tiada kekecohan.

“Mereka mula bicara dengan tuding jari guna nada suara tinggi. Saya bukan malaikat, saya juga tidak dapat kawal perasaan. Laporan polis saya dikoyak. Ini sejarah, biasanya saya koyak laporan polis, tapi malam ini lain,” katanya.

Ujar Lokman lagi, di zaman undang-undang rimba yang dipertahankan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bukan kepimpinan PH sahaja melakukan perkara ‘kejam’ tetapi segelintir polis juga sudah bertindak sedemikian rupa.

“Siri perhimpunan seterusnya, saya harap pihak polis menempatkan pegawai yang lebih berpengalaman untuk mengendalikan perhimpunan aman, lebih profesional dan bukan yang senang-senang nak tengking rakyat,” katanya.

Perhimpunan diadakan bertujuan untuk desak Peguam Negara (AG), Tommy Thomas meletakkan jawatannya kerana dilihat menyalahgunakan kuasa dengan menarik diri terhadap beberapa kes yang melibatkan pemimpin PH.

Sebelum ini, Tommy menarik diri daripada semua pertimbangan berhubung kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan terima prinsip konflik kepentingan yang diguna pakai terhadapnya. – Mynewshub.TV

Loading...