Burung Albatros Berusia 68 Tahun Bertelur Buat Kali Ke-37

HONOLULU, Hawaii – Seekor burung Albatros Laysan berusia 68 tahun telah bertelur buat kali ke-37, menjadikannya burung paling tua di dunia yang masih membiak, lapor akhbar Daily Mail.

Dikenali sebagai Wisdom, burung itu dilaporkan telah ditanda saintis pada 1956 ketika baru berusia lima tahun dan sehingga kini telah berjaya membesarkan 41 ekor anak di Taman Perlindungan Haiwan Liar Atol Midway, dekat sini.

“Wisdom dan pasangannya, Akeakamai muncul di kawasan sarang tradisional itu pada 29 November lalu dan penyelidik di sana mengesahkan pasangan itu mempunyai sebiji telur,” kata pengurusan taman tersebut.

Albatros Laysan kekal dengan pasangannya seumur hidup dan kebiasaannya hanya menetaskan sebiji telur setiap dua tahun.

Kira-kira 99.7 peratus daripada 2.5 juta ekor burung Albatros Laysan tinggal di barat laut kepulauan Hawaii dan dipercayai menghabiskan tiga ke lima tahun pertama hidupnya terbang di atas laut tanpa memijak tanah. – Agensi/Kosmo Online