Buruh Binaan Didakwa Dalang Mahu Serang Kuil

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh binaan didakwa anggota kumpulan pengganas Daesh yang menjadi dalang utama rancangan menyerang rumah ibadat di negara ini dan membunuh empat individu berprofil tinggi pada awal Ramadan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mahadi Mamat, 34, yang didakwa mahu melakukan demikian dengan motif mahu membalas dendam atas kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di kuil USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada akhir tahun lalu menghadapi lapan pertuduhan menganjurkan aktiviti keganasan.

Tiada pengakuan direkodkan dan dia sekadar mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap perbuatan pengganas dengan membuat ancaman serangan terhadap Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, Selangor dan membunuh empat individu menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan ‘Sejati Sejiwa’.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa telah memberikan latihan penggunaan senjata api kepada ahli kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ terbabit.

Dia juga menghadapi pertuduhan keempat iaitu memberi arahan melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan WhatsApp terbabit.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam pula, Mahadi didakwa telah mendapatkan enam butir pipe bom, sepucuk pistol semi automatik CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis Luger 9 milimeter bagi melaksanakan perbuatan pengganas berkenaan.

Tertuduh turut menghadapi pertuduhan ketujuh iaitu merekrut individu lain untuk menyertai kumpulan WhatsApp ‘Sehati Sejiwa’ untuk melakukan perbuatan keganasan terbabit.

Terakhir, dia didakwa memiliki item-item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut dengan menggunakan telefon bimbit jenama Alcatel di sebuah rumah di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu antara pukul 9.48 malam, 7 Januar lalu hingga pukul 4.45 petang, 8 Mei lalu. – K! ONLINE