Bursa Malaysia Rendah Akibat Kebimbangan Pada Wabak

BURSA Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini, seiring dengan prestasi bursa serantau dalam keadaan kebimbangan tidak menentu terhadap penularan koronavirus (Covid-19), yang kini telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Indeks Nikkei Jepun turun 4.65 peratus kepada 18,513.02; Indeks Hang Seng Hong Kong susut 3.81 peratus kepada 24,269.06; Indeks Kospi Korea Selatan kurang 4.75 peratus kepada 1,817.60 dan Indeks Straits Times Singapura merosot 3.89 peratus kepada 2,675.39.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 20.06 mata atau 1.38 peratus kepada 1,423.77 daripada 1,443.83 ketika ditutup pada Rabu.

FBM KLCI dibuka 12.42 mata lebih rendah pada 1,431.41 dan bergerak di antara 1,423.02 dengan 1,432.70 sepanjang dagangan pagi.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 887 berbanding 134, manakala 173 kaunter tidak berubah, 822 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.21 bilion saham bernilai RM1.42 bilion.

Sentimen pasaran turut suram, dengan FBM Small Cap, Kewangan, FBM ACE, Tenaga dan Perladangan masing-masing mencatatkan penurunan, namun Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 11.60 mata kepada 1,359.59.

Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata dalam keadaan ketidaktentuan pasaran yang wujud semula, pembuat sarung tangan getah dijangka meneruskan trajektori meningkat masing-masing.

Hartalega dan Top Glove masing-masing meningkat 16 sen dan 39 sen kepada RM6.64 dan RM6.67.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, industri sarung tangan getah telah menambah kapasiti pengeluaran mereka sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

“Ini akan termasuk automasi dalam proses pengeluaran yang akan mempercepatkan tahap pengeluaran mereka. Saya yakin wujud lonjakan permintaan terhadap produk mereka sekarang ini. Justeru, mereka akan mampu memenuhi permintaan dan mendorong pertumbuhan perolehan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, instrumen selamat seperti bon atau sukuk akan menjadi pelaburan yang amat menarik walaupun hasilnya rendah.

“Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah pengekalan modal atau prinsip pelaburan. Jadi, kita akan terus menyaksikan perubahan permintaan daripada aset berisiko seperti ekuiti kepada bon atau sukuk,” katanya.

Ketika ditanya sama ada indeks tempatan akan turun kepada paras 1,300, yang pernah dicatatkan pada 2010, sekiranya Covid-19 terus menular, beliau berkata, ia satu kemungkinan.

“Bagaimanapun, kita melihat jumlah kes yang pulih di peringkat global sebanyak 66,251, iaitu kadar pemulihan kira-kira 55 peratus daripada kes positif 120,772 orang, jadi diharapkan wujud juga peluang belian, khususnya bagi mereka yang mempunyai batasan pelaburan jangka panjang,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun 10 sen kepada RM8.29, TNB susut 22 sen kepada RM12.40, Public Bank kurang 32 sen kepada RM16.48 manakala IHH Healthcare menguncup tiga sen pada RM5.56.

Bagi saham aktif, Bumi Armada turun satu sen kepada 17 sen, Jaks Resources susut 13 sen kepada 92 sen dan Hibiscus Petroleum kurang 2.5 sen kepada 41 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 182.12 mata kepada 9,898.26, Indeks FBM Emas Syariah turun 158.31 mata kepada 10,560.20 dan FBM 70 merosot 311.79 mata kepada 11,761.19.

Indeks FBMT 100 menguncup 164.94 mata kepada 9,780.02 dan FBM Ace turun 234.09 mata kepada 4,490.43.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 3.08 mata kepada 120.37, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 303.27 mata kepada 13,610.19 dan Indeks Perladangan susut 109.46 mata kepada 6,284.12.

Loading...