Bursa Malaysia Kekal Rendah

BURSA Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi tadi berikutan pasaran tempatan terus menghadapi tekanan susulan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Iraq yang meningkatkan ketegangan antara Washington dan Teheran.

Pada 12.30 tengah hari tadi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,594.86 mata, merosot 16.18 mata daripada 1,611.04 semasa ditutup semalam.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 743 berbanding 138, manakala 281 kaunter kekal tidak berubah, 775 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

FBM KLCI dibuka 6.9 mata lebih rendah sebelum jatuh 21.39 mata selepas dua minit dagangan.

Seorang penganalisis berkata bursa tempatan akan terus tidak menentu sepanjang hari ini berikutan pelabur menunggu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memaklumkan mengenai perkembangan terkini di Timur Tengah lewat hari ini.

“Jika AS membuat tindakan balas dalam apa jua cara, bursa tempatan akan terus menghadapi tekanan walaupun harga minyak dijangka meningkat.

“Bagaimanapun, indeks tidak akan merosot lebih 30 mata berikutan pegangan ekuiti asing hanya kira-kira 35 peratus manakala bakinya dikawal oleh institusi kerajaan.

“Selain itu, saham wajaran indeks komposit utama turut berkaitan kerajaan,” katanya.

Dari segi teknikal, katanya, bagi baki hari dagangan, indeks dijangka diniagakan antara 1,588 dan 1,605.

Sebanyak 30 kaunter utama kekal negatif dengan Axiata susut 13 sen kepada RM4.23, CIMB Group merosot sembilan sen kepada RM5.20, MISC jatuh 14 sen kepada RM8.29 dan PPB berkurangan 42 sen kepada RM18.86.

Bagi kaunter paling rugi, Scientex, UWC, LPI dan Hong Leong Bank, masing-masing susut 14 sen kepada 9.46, RM3.04, RM15.16 dan RM17.52.

Bagi saham aktif, Alam Maritim dan warannya, masing-masing naik satu sen dan setengah sen kepada 19 sen dan tujuh sen manakala kaunter tenaga, Sapura Energy dan Velesto, masing-masing meningkat satu sen dan 1.5 sen kepada 29 sen dan 40 sen.

Mengenai indeks secara keseluruhan, Indeks FBM Emas susut 112.28 mata kepada 11,345.66 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 111.82 mata kepada 11,976.22.

Indeks FBMT 100 berkurangan 104.88 mata kepada 11,147.44, FBM 70 turun 100.04 mata kepada 14,208.72 manakala FBM Ace susut 100.63 mata kepada 5,353.81.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.70 mata kepada 154.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 159.19 mata kepada 15,554.22 dan Indeks Perladangan merosot 96.53 mata kepada 7,661.00. 

Loading...