Bursa Malaysia Dibuka Rendah

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi semalaman yang lemah di Wall Street.

Pada 9.14 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.12 mata kepada 1,553.67 daripada 1,558.79 pada Selasa. Indeks penanda aras dibuka 4.06 mata lebih rendah pada 1,554.73.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 163 berbanding 99, manakala 1,144 kaunter tidak berubah, 605 tidak diniagakan dan 29 lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 551.74 juta saham bernilai RM189.58 juta.

Public Investment Bank Bhd. berkata saham mengadakan sesi jualan lewat susulan keputusan pentadbiran Trump mengenakan sekatan visa ke atas pegawai kerajaan China berkaitan tahanan besar-besaran Uighur di barat China yang telah mencetuskan kebimbangan baharu mengenai ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia itu.

“Kejatuhan mendadak menyaksikan S&P 500 ditutup 1.6 peratus lebih rendah, dan Dow Jones Industrial Average turun 1.2 peratus,” katanya dalam nota.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, CIMB dan Petronas Gas masing-masing turun dua sen kepada RM8.43, RM4.88 dan RM16.28 manakala PBBank dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM19.30 dan RM5.67.

Antara saham paling aktif, Bumi Armada dan Iskandar Waterfront City masing-masing menokok setengah sen kepada 35.5 sen dan 92 sen manakala Sanichi, MUI Properties dan Sumatec masing-masing tidak berubah pada lima sen, 17 sen dan satu sen.

Indeks FBM Emas merosot 33.22 mata kepada 11,041.03, Indeks FBMT 100 turun 34.06 mata kepada 10,862.59 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 36.02 mata kepada 11,635.52.

FBM 70 menyusut 36.56 mata kepada 13,857.98 dan FBM Ace merosot 16.96 mata kepada 4,597.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 32.17 mata kepada 15,000.47, Indeks Produk & Perkhidmatan Industri susut 0.4 mata kepada 149.71 manakala Indeks Perladangan naik 3.23 mata kepada 6,572.81.

Loading...