Bursa Gantung PDT, IDSS Axiata

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia menggantung dagangan jualan singkat harian proprietari (PDT) dan jualan singkat harian (IDSSS) saham Axiata Group Bhd. susulan penurunan harga saham itu selepas Axiata dan Telenor ASA, syarikat induk Digi.com Bhd, memutuskan untuk menamatkan rundungan penggabungan kedua-dua entiti itu.

“Sila ambil maklum bahawa jualan singkat di bawah PDT dan IDSS bagi saham Axiata digantung hari ini memandangkan Harga Dagangan Terakhir Sekuriti diluluskan merosot lebih daripada 15 peratus daripada Harga rujukan.

“Jualan singkat di bawah PDT dan IDSS hanya akan diaktifkan semula pada dagangan hari berikutnya, Rabu, 8.30 pagi, 11 September,” kata Bursa Malaysia dalam maklumannya hari ini.

Pada 11.45 pagi, saham Axiata didagangkan pada RM4.16, 14.75 peratus atau 72 sen lebih rendah berbanding RM4.88 pada penutupan Jumaat, dengan 24 juta saham bertukar tangan.

Sementara itu, saham Digi mencatatkan RM4.58, susut 31 sen atau 6.3 peratus.

Menurut AllianceDBS Research, saham Axiata dan Digi masing-masing meningkat 18 peratus dan lapan peratus sejak pengumuman cadangan penggabungan itu empat bulan lepas.

“Pada paras semasa, kami percaya pasaran sudah mengambil kira beberapa sinergi berpotensi dari penggabungan itu.

“Oleh itu, kami percaya harga saham bagi kedua-dua syarikat akan bertindak balas secara negatif terhadap perkembangan baharu ini,” katanya dalam nota hari ini.

AllianceDBS berkata ia mengekalkan saranan simpan ke atas kedua-dua saham berkenaan pada harga sasaran semasa sebanyak RM4.60 (Axiata) dan RM4.80 (Digi) kerana ia belum memasukkan sebarang sinergi penggabungan ke dalam anggarannya.

Sementara itu, AmBank Research menurunkan saranannya ke atas kedua-dua saham bekenaan kepada simpan susulan penilaian adil yang lebih lemah ke atas Axiata dan Digi.

Ia juga menurunkan prospek sektor telekomunikasi kepada neutral daripada tinggi berikutan penamatan unjuran sinergi terdahulu daripada penggabungan sektor dan penurunan persaingan harga yang telah menurunkan margin sektor itu sejak tiga tahun yang lepas.

“Memandangkan kita sebelum ini positif ke atas perjanjian ini, penamatannya bermakna pengembalian kepada persaingan domestik terdahulu antara lima pemain utama – Maxis, Celcom, Digi, U Mobile dan Unifi Mobile, tidak termasuk pengendali rangkaian maya mudah alih MVNO) seperti REDtone, yang kini menawarkan pelan pasca bayar yang sangat menarik,” kata AmBank Research.

Penggabungan yang dicadangkan itu, terbesar di ASEAN, akan menghasilkan pendapatan lebih daripada US$12 bilion (RM50 bilion) dan EBITDA melebihi US$4.8 bilion (RM20 bilion) dengan operasi di sembilan negara dengan 300 juta pelanggan.

Entiti yang disatukan akan muncul sebagai pengendali selular terbesar di Malaysia, Nepal, Kemboja, Myanmar, Sri Lanka dan Bangladesh, menduduki tempat kedua terbesar di Indonesia dan Pakistan dan pemain ketiga terbesar di Thailand.