Buku Kejayaan Alumni Asing Di Malaysia Dilancar

PUTRAJAYA – Education Malaysia hari ini melancarkan buku berjudul “International Alumni of Malaysia” bagi mengabadikan kisah kejayaan dan pengalaman 42 alumni antarabangsa Malaysia yang memperoleh ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah daripada universiti di negara ini.

Buku itu dilancarkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Sesi Bertemu dan Beramah Mesra dengan Menteri Pendidikan dihadiri 100 pelajar antarabangsa di Kementerian Pendidikan di sini.

Antara tokoh ditampilkan dalam buku itu ialah Duta Besar Bosnia and Herzegovinia ke Malaysia Emir Hadzikadunic, yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2002 sebelum melanjutkan pengajian di negaranya.

Dalam buku itu, Hadzikadunic berkata Kuala Lumpur merupakan destinasi kesukaannya kerana bandar raya ini memiliki adunan tradisi moden dan tradisional, di samping suasananya yang maju dan bertenaga.

Seorang lagi alumni yang diketengahkan dalam buku itu ialah warga Afrika Selatan, Zimkhita Buwa, yang kini menyandang jawatan ketua pegawai operasi Britehouse Group, sebuah syarikat teknologi dan perkhidmatan maklumat berpejabat di Cape Town. Buwa memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat daripada Universiti Teknologi Petronas pada 2004.

Turut ditampilkan ialah warga Kazakhstan, Makpal Bulatova, yang kini bertugas sebagai penterjemah kepada Duta Besar Malaysia di Kazakhstan. Bulatova memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada LimKokWing University of Creative Technology pada 2010.

Dalam kenyataannya, Kementerian Pendidikan berkata kejayaan alumni antarabangsa Malaysia itu membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi di Malayia setaraf dengan institusi pengajian tinggi lain di negara maju. – BERNAMA

Loading...