Buku Jadi Rujukan Pembuat Dasar, Pelaksana Dan Masyarakat

KUALA LUMPUR – Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan hari ini, menjadi rujukan kepada pembuat dasar, pelaksana dan masyarakat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan diterbitkan untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai dasar imunisasi yang akan dilaksanakan penghujung bulan ini.

“Saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada hari ini, kita akan melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. 

“Ini satu lagi langkah ke hadapan dalam kita menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang akan dilaksanakan di negara kita,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Putrajaya, di sini hari ini.

Gimik pelancaran secara maya itu turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin berkata, penerbitan buku itu tepat pada masanya menjelang negara akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19, Ahad ini.

“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri tetapi insan tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti.

“Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua,” katanya.

Dalam majlis sama, Muhyiddin turut melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my untuk membolehkan Buku Panduan Program Imunisasi ini dimuat turun orang ramai. – BH Online