Bukti Lakonan Berjaya, Khiriah Dikecam Dek ‘Aishah’

HANYA disebabkan satu watak antagonis yang dibawa oleh pelakon Noorkhiriah menerusi drama bersiri Nur, ia telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada ramai penonton.

Malah Noorkhiriah kini dikecam teruk oleh penonton di media sosial disebabkan watak ‘Aishah’ yang dibawanya kerana dianggap melampau sebagai seorang Muslimah.

“Baru siar episod pertama, sudah macam-macam kecaman netizen lemparkan. Sampai jam 2 pagi saya masih membaca komen di media sosial,” katanya ketika dihubungi oleh pihak BH Online.

Sebelum ini, Noorkhiriah sering kali membawa watak sebagai gadis kampung yang dianiaya tetapi kali ini, satu kelainan telah dilakukan oleh pelakon berusia 41 tahun itu.

Malah, ada penonton yang meninggalkan komen dan memberitahu bahawa mereka bertindak menutup bunyi televisyen ataupun menukar ke siaran lain akibat tidak tahan mendengar maki hamun watak ‘Aishah’ yang dibawanya.

“Aishah wanita alim yang berasal dari keluarga penceramah terkenal. Dia berubah sikap apabila adik lelaki dia bercinta dengan pelacur.

“Sewaktu penggambaran, kejahatan Aishah tidak terserlah dan skrip juga sentiasa dikembangkan.

“Saya difahamkan ramai penonton tidak sanggup melihat wanita bertudung labuh berperangai buruk dan memaki hamun,” ujarnya lagi.

Drama sebanyak 19 episod di bawah arahan Shahrulezad Mohameddin itu telah mengetengahkan jalan cerita yang berbeza supaya dapat membuatkan penonton berfikir sepanjang drama berkenaan disiarkan.

Nur bukan cerita ringan. Saya gembira kerana secara tidak langsung dapat berdakwah kepada orang ramai menerusi drama ini.

“Mesej disampaikan adalah jangan menilai orang dari luaran, yang penting hati bersih,” tambahnya lagi.

Drama berkenaan baru sahaja menemui penonton pada Isnin minggu lalu bermula jam 10 malam terbitan TV3 dan antara pelakon yang membarisi drama berkenaan ialah Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Azhan Rani dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...