Bukit Aman Buru Individu Samakan Polis Dengan Anjing

KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menyiasat dua laporan yang diterima berhubung kenyataan seorang individu yang menyamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dengan anjing di laman sosial Twitter.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak petang semalam.

“Siasatan dijalankan dan polis kini sedang mengesan suspek untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, seorang pemilik akaun Twitter membalas ciapan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung isu pengganas dengan mengeluarkan kenyataan jelik berbahasa Inggeris.

“Please vote in Parliment to defund and reduce salary of PDRM (Polis Diraja Malaysia); remind them who is the boss Mahathit or 50+ PKR Mps! Misbehaving dogs need to be disciplined.”

Difahamkan, ciapan tidak bertanggungjawab itu dimuat naik semalam oleh individu terbabit.

Loading...