Bukan Rombongan Pinang, Hanya Beraya – Erra Fazira

SELEPAS lama menyepi, tiba-tiba naik pula kontroversi kononnya keluarga penyanyi Shahir Zawawi telah menghantar rombongan merisik ke kediaman primadona negara, Erra Fazira.

Akibat penularan berita tidak sahih itu, Erra dengan pantas menegaskan bahawa kunjungan keluarga penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu sekadar untuk beraya sahaja pada 1 Syawal lalu.

“Memang Shahir dan keluarganya ada datang ke rumah pada hari raya pertama lalu. Namun, ingin saya tegaskan, kunjungan itu sekadar untuk beraya. Tiada majlis merisik atau apa-apa yang berkaitan dengan hubungan kami.

“Malah, kami tidak berpakaian sedondon pun. Lagipun, saya dan keluarga Shahir sudah saling mengenali, jadi tiada masalah untuk mereka datang beraya,” katanya ketika ditemui oleh pihak BH Online.

Dalam masa yang sama, Erra turut memaklumkan bahawa tiada sebarang juadah istimewa yang disajikan buat keluarga dari Perak itu melainkan menu Hari Raya Puasa yang biasa sahaja.

Walaupun sudah beberapa kali ditanya tentang status hubungan mereka, Erra dan Shahir masih lagi berdiam diri tanpa membuat sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, ramai peminat mendoakan kesejahteraan hubungan mereka untuk berkekalan sehingga ke jinjang pelamin.

Selain itu, Erra turut menegaskan bahawa mereka berdua masih lagi menjadi kawan biasa seperti sebelum ini.

“Anda semua pasti akan kecewa dengan jawapan saya kerana tiada sebarang perkembangan terbaru (mengenai hubungan kami). Sebaliknya, kami masih kekal sebagai kawan,” ujarnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...