Bukan Perkara Baharu Nurul Izzah Letak Jawatan

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bukan suatu perkara baharu.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, anak sulung Presiden parti itu turut melakukan tindakan sama melibatkan jawatan parti dan kerajaan sebelum ini.

“Nurul Izzah letak jawatan bukan benda baharu sebab beliau letak jawatan dalam TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dan Naib Presiden,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sabtu lalu, Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai anggota PAC setelah tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu mengekalkan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Pengerusi jawatankuasa tersebut.

Menurut Zuraida yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), isu berkaitan PAC sepatutnya diselesaikan melalui perbincangan dalam kalangan anggota jawatankuasa itu dengan menteri yang berkaitan.

“Dapatkan penjelasan, tapi sebelum itu dilaksanakan kenyataan umum, saya tak boleh buat apa-apalah sebab beliau (Nurul Izzah) sudah buat,” katanya.

Sementara itu, Zuraida memberitahu, beliau tidak tahu individu cenggeng yang dimaksudkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi hantaran di Twitter miliknya, baru-baru ini.

“Saya tak tahu beliau (Mohamed Azmin) merujuk kepada siapa ‘cry babies’ sebab saya tak nampak nama dipautkan (tagged) di situ, jadi saya tak tahu siapa dimaksudkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang itu turut menafikan ketidakharmonian dalam PKR kerana parti itu sentiasa terbuka dalam meraikan perbezaan pendapat.

“Semua orang boleh bercakap dan terpulang kepada Presiden untuk meneliti serta mengambil tindakan selanjutnya, saya serahkan kepada Presiden,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...