Bukan Mudah Ratifikasi, Perlu Pinda Perlembagaan

KOTA BHARU – Tindakan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan sesuatu proses yang mudah kerana ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata mana-mana perkara yang membabitkan pelaksanaan sesuatu dasar baharu di negara terlebih dahulu perlu melalui proses pindaan Perlembagaan yang memerlukan dua pertiga undi majoriti daripada 222 kerusi Parlimen.

Justeru, beliau berkata, orang Melayu tidak perlu bimbang kerana hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam bukan mudah dipinda dalam Perlembagaan..

“Kita hormati keputusan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelaksanaan ICERD tetapi untuk melaksanakannya di Malaysia, kita perlu melalui proses pindaan Perlembagaan.

“Bagi saya ia dimainkan sebagai satu isu politik sahaja dan isu sebegini bukan sesuatu yang baharu,” katanya kepada pemberita ​​​​​​​selepas merasmikan Konvensyen PAN Kelantan 2018, di sini, hari ini.

Konvensyen kali ketiga itu turut dihadiri​​​​​​​ Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan, berkata PAN menerima pertambahan jumlah anggota parti yang semakin memberangsangkan terutama di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Katanya, dalam tempoh empat bulan lepas lebih kira-kira 8,000 anggota baharu menyertai PAN di negeri ini sekali gus merupakan satu rangsangan yang baik kepada negeri-negeri lain.

“Faktor utama pertambahan keanggotaan yang besar ini adalah hasil perhitungan politik yang betul iaitu untuk memerintah di peringkat persekutuan kita perlu wujudkan kerjasama dengan parti lain khasnya parti yang terdiri daripada kaum lain,” katanya. – BERNAMA

Loading...