Buka Sempadan Malaysia-Singapura Perlu Diselesai Menyeluruh

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia berpandangan perbincangan pembukaan semula sempadan di antara Malaysia dan Singapura perlu diselesaikan secara menyeluruh dengan mengambil kira kesemua rakyat Malaysia yang berulang-alik atau tinggal di republik itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Ismail Sabri berkata setakat ini rundingan mengenai perkara itu masih berjalan, namun cadangan prosedur operasi standard (SOP) hanya melibatkan komuniti perniagaan.

“Tapi mesyuarat khas berpandangan kalau ingin diselesaikan, perlu diselesaikan secara menyeluruh bukan sahaja komuniti perniagaan. Kalau boleh, kesemua tiga kategori rakyat Malaysia yang terlibat perlu diselesaikan, terutamanya 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini. 

Tiga kategori terbabit ialah komuniti perniagaan, rakyat Malaysia yang bekerja dan tinggal di republik itu melebihi tiga bulan dan 250,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke Singapura.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya perkembangan perbincangan di antara Malaysia dan Singapura mengenai pembukaan semula sempadan. 

Beliau berkata kerajaan berharap Singapura melonggarkan SOP yang ketat termasuk tidak mewajibkan ujian swab ke atas setiap rakyat Malaysia yang ingin memasuki republik itu.

“Kalau dulu setuju longgarkan SOP terhadap rakyat Malaysia yang memandu lori membawa makanan tidak perlu dilakukan ujian swab, hanya dengan saringan suhu badan. Jadi janganlah mereka tiba-tiba sekarang dalam perbincangan mahu kenakan SOP ketat dengan mengenakan syarat swab test kepada setiap rakyat Malaysia yang masuk ke Singapura,” katanya. 

Ditanya status 1,400 rakyat Malaysia yang menjalani kuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua, Ismail Sabri berkata hanya 414 individu yang masih gagal berbuat demikian. 

Beliau berharap individu yang masih berdegil atau tidak tahu SOP itu dapat pergi ke klinik kesihatan berdekatan atau menghubungi Kementerian Kesihatan untuk melakukan saringan kali kedua. 

“Kalau 414 individu ini belum tampil, pihak polis akan datang ke rumah mereka dan bantu mereka ke klinik kesihatan. Jadi kalau selesa pergi sendiri tidak perlu tunggu polis untuk membawa mereka ke klinik kesihatan,” katanya. – BERNAMA 

Loading...