Budak Hilang Jari Telunjuk Akibat Mesin Pengisar

KLANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hilang jari telunjuk kiri selepas tersepit di dalam mesin pengisar daging di rumahnya di Kampung Delek Kanan, di sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 9 pagi apabila mangsa yang merupakan warga Indonesia itu memasukkan tangan ke dalam mesin itu sewaktu ibunya menyiapkan bahan untuk memasak.

Situasi itu mengakibatkan mangsa terpaksa menahan azab selama 30 minit sebelum diselamatkan bomba.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.09 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati sebahagian tangan tangan kiri kanak-kanak itu terperangkap di dalam mesin berkenaan.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tangan kanak-kanak itu dan mengambil masa kira-kira 10 minit.

“Selepas berjaya mengeluarkan jari mangsa yang tersepit, dia kemudiannya diserahkan kepada anggota paramedik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) juga turut berada di lokasi untuk bantuan susulan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas beliau, operasi ditamatkan pukul 9.54 pagi dan mangsa dirawat di HTAR. – K! ONLINE

Loading...