Budak 8 Tahun, YouTuber Terkaya

NEW YORK – Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Ryan Kaji, memperoleh pendapatan mencecah AS$26 juta (RM107.6 juta) tahun ini, menjadikannya ‘creator’ di laman perkongsian video YouTube dengan bayaran tertinggi, kata majalah Forbes.

Kaji atau nama sebenarnya Ryan Guan turut mencatat pendapatan tertinggi di platform itu tahun lalu mencecah AS$22 juta (RM91 juta).

Saluran ‘Ryan’s World’ yang dilancarkan ibu bapa Ryan pada 2015 ketika berusia tiga tahun kini mempunyai 22.9 juta pelanggan.

Dikenali pada awalnya sebagai ‘Ryan ToysReview’, saluran itu memaparkan aksi kanak-kanak itu membuka kotak mainan dan bermain dengannya.

Nama saluran itu ditukar baru-baru ini selepas mendapat bantahan daripada sebuah organisasi hak pengguna, Truth Advertising.

Truth Advertising menuduh saluran itu tidak menyatakan dengan jelas sama ada video itu ditaja atau tidak.

Mengikut ranking Forbes, Ryan Kaji memintas saluran ‘Dude Perfect’ yang berada di tempat kedua dengan pendapatan mencecah AS$20 juta (RM82.8 juta).

Saluran ‘Dude Perfect’ kendalian sekumpulan sahabat dari Texas itu antara lain memaparkan cubaan mereka melakukan beberapa aksi sukar seperti cuba menjaringkan bola keranjang dari atas bangunan atau helikopter. – Agensi

Loading...