Budak 5 tahun Maut Jatuh Dari Tingkat 9 Hotel

ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak warga Bahrain ditemui mati dalam keadaan terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan sebuah hotel, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata mangsa berusia lima tahun itu ditemui di aras tiga hotel berkenaan berhampiran kawasan kolam renang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan dipercayai terjatuh menerusi tingkap bilik hotel disewa keluarganya.

“Pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian (aras tiga) dipercayai terjatuh dari tingkap tingkat sembilan iaitu dari bilik sewanya.

“Berdasarkan keterangan ibu mangsa, ketika kejadian dia sedang memasak di dapur dan mangsa pula bermain dengan adiknya di ruang tamu, manakala suaminya keluar untuk membeli barang.

“Beberapa minit selepas itu, ibu mangsa memaklumkan dia tidak lagi mendengar suara kedua-dua orang anaknya dan setelah dicari, dia hanya menemui adik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, ibu mangsa hanya menyedari anaknya terjatuh apabila ternampak tingkap di ruang tamu terbuka dan mendapati mangsa sudah berada di bawah.

“Siasatan awal terhadap bapa mangsa memberitahu, mereka sekeluarga baru sahaja sampai ke Johor Bahru semalam untuk melancong.

“Masa kejadian berlaku, bapa mangsa turun ke tingkat bawah untuk membeli barang sebelum menerima panggilan kira-kira jam 5.58 petang daripada isterinya mengenai insiden itu,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat.

Loading...