Budak 2 Tahun Kes Positif COVID-19 Termuda

KOTA BHARU – Ujian berat buat kanak-kanak berusia dua tahun apabila bukan saja menghidap kanser darah, malah menjadi mangsa termuda positif Covid-19 di Kelantan.

Muhammad Fateh Aqil Mohd Nazmee yang sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), namun terpaksa menangguhkan selepas ujian darah yang dilakukan mendapati kanak-kanak itu positif Covid-19.

Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser (Pesona) menerusi Facebook, semalam.

Menerusi Facebook berkenaan, Pesona memohon orang ramai mendoakan Muhammad Fateh Aqil yang berusia dua tahun empat bulan disahkan positif Covid-19.

“Fateh, penghidap leukemia sepatutnya menjalani kitaran kimoterapinya mengikut jadual di HUSM Kubang Kerian, namun ujian darah yang dilakukan mendapati dia dijangkiti Covid-19.

“Mohon didoakan agar anakanda Fateh sembuh dan dapat meneruskan perjuangannya,” katanya.

Terdahulu, kisah kanak-kanak berkenaan tular di Facebook sejak kelmarin dan mengundang simpati masyarakat.

Sementara itu, sumber Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak berkenaan positif Covid-19.

“Dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. Kanak-kanak itu dijangkiti Covid-19 melalui keluarga,” katanya. – myMetro Online

Loading...