“Buat Apa Saya Nak Reka Cerita” – Saksi

SHAH ALAM – Seorang saksi pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, kenyataan yang diberikan dalam prosiding perbicaraan kes itu bukan cerita rekaan.

Saksi pendakwaan ke-12, bekas anggota polis, Nur Ronal Ardes Amir, sebaliknya berkata, keterangannya dalam mahkamah berdasarkan apa yang dilihatnya pada masa kejadian berkenaan, pada 14 Jun 2018.

“Saya tidak setuju kerana kata saya mereka-reka cerita sebab ketika kejadian saya ada, dan tak ada sebab untuk saya mereka-reka cerita.

“Saya tidak kenal siapa mangsa dan juga tertuduh. Buat apa saya nak reka cerita. Saya pergi (lokasi kejadian) atas bantuan yang diminta URB (Unit Rondaan Bermotor),” katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid, pada pemeriksaan semula di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas, Nur Ronal Ardes, 39, yang ketika kejadian berpangkat Koperal dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, tidak bersetuju dengan kenyataan peguam bela ketiga-tiga tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau mereka-mereka cerita bohong untuk dianggap sebagai hero.

Muhammad Shafee kemudian berkata, terdapat ramai hero, termasuk pengawal keselamatan kawasan rumah berkenaan.

Muhammad Shafee turut meminta saksi sama supaya menerangkan cerita sebenar kerana ia membabitkan nyawa individu.

“Puan dalam soalan tambahan menceritakan Samirah (Samirah Muzaffar, tertuduh pertama) ambil mata wang asing, selepas perkara ini dibawa ke mahkamah bahawa wang itu kemungkinan dicuri semasa api dipadamkan.

“Sebab itu buat cerita ini? Adakah puan dipengaruhi IO (pegawai penyiasat)? Untuk ‘cover’ tindakan polis dan bomba?” katanya.

Bagaimanapun, Nur Ronal Ardes menjawab ‘tidak ada’ pada cadangan itu.

Beliau juga tidak setuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Samirah tidak ingat dia ada bercerita kepada saksi bahawa dia tidak mempunyai pembantu rumah.

Nur Ronal Ardes, memberitahu mahkamah, beliau masih ingat perkataan dikeluarkan Samirah bahawa tertuduh memang tidak ada pembantu rumah dan semua kerja rumah dilakukannya sendiri.

Saksi juga berkata, beliau tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kes kebakaran itu sehinggalah melihat laporan berita yang disiarkan stesen televisyen TV3.

Samirah, 44, iaitu bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, kini berdepan pertuduhan membunuh Nazrin, tahun lalu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Perbicaraan bersambung 29 November ini. – BH Online

Loading...