Brunei Tambah Lagi Jadi 4 Hari Bebas Beg Plastik

BANDAR SERI BEGAWAN – Bermula 19 April lalu, hari Khamis ditambah sebagai satu lagi hari bebas beg plastik di seluruh Brunei dalam inisiatif kerajaan ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik.

Ia sejajar dengan titah arahan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Persidangan Khas Menteri Kabinet pada 7 Februari lalu bagi memastikan mulai awal tahun depan, tiada lagi beg plastik digunakan di negara tersebut.

Pelancaran itu diadakan pada majlis bersempena dengan Hari Bumi 2018 yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Suhaimi Gafar.

Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi Brunei (JASTRe), Dayang Martinah Tamit dalam ucapan alu-aluannya menyentuh mengenai kesesuaian tema Hari Bumi pada tahun ini, Akhiri Pencemaran Plastik.

Ini selaras dengan usaha kerajaan Brunei ke arah matlamat Setiap Hari Tanpa Beg Plastik menjelang 1 Januari 2019 kelak dalam usaha menangani isu sisa plastik di seluruh negara kecil ‘kaya minyak’ rantau Asia tenggara tersebut.

“Ia adalah tanggungjawab semua pihak termasuk individu, institusi atau organisasi untuk mengakhiri pencemaran plastik dan memastikan persekitaran bebas pencemaran di samping memupuk tabiat yang berunsurkan kehijauan.

“Juga amalan kelestarian ke arah sebuah negara yang berkualiti selaras dengan Wawasan Brunei 2035,” kata beliau yang juga menekankan kepentingan pengguna media sosial tempatan dalam menyebarkan maklumat kerajaan itu.

Sebelum kempen tersebut dilancarkan pada 2011 lalu, dianggarkan sejumlah 144,000 hingga 393,600 beg plastik digunakan pelanggan saban tahun hanya pada masing-masing setiap kali hari Sabtu dan Ahad di seluruh negara.

Menurut Martinah, bagi tujuan itu, majlis berkenaan turut melancarkan poster bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai program penambahan hari Khamis sebagai hari tanpa beg plastik dan hari-hari yang selebihnya.

Poster diagihkan kepada semua pasar raya, gedung beli-belah serta kedai runcit di seluruh negara selain juruwang mengedarkan risalah kecil kepada pelanggan semasa pembayaran dengan harapan orang ramai maklum inisiatif ini.

Baca: Kualiti Udara Di Brunei Ketiga Paling Bersih Di Dunia

Dan: Brunei Haram Jual Makanan Haram, Denda Jika Ingkar

Juga: Brunei Kempen Murid Minum Air Kosong, Bukan Milo

Pada majlis itu turut menyaksikan tetamu kehormat melancarkan akaun Instagram rasmi JASTRe iaitu jastre.bn dan seterusnya menyempurnakan penyampaian poster kepada wakil gedung perniagaan dan pasar raya utama.

Rombongan Kementerian Pembangunan kemudian melawat Pusat Beli-Belah Utama Grand, Pasar Raya Sin Kew Hin dan Jaya Centrepoint Hypermarket Sdn. Bhd. di Gadong memberi 300 beg guna semula kepada orang ramai.

Penambahan hari lain akan dibuat secara berperingkat iaitu Rabu mulai Julai, Selasa pada Oktober dan Isnin ditambah pada Disember depan sekali gus merealisasikan dasar kerajaan ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik.

Pada permulaan, penambahan ini melibatkan premis sedia ada disenarai di bawah Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik, namun diperluaskan kepada pengguna di kedai runcit, restoran dan gerai makanan di seluruh negara.

Pada 26 Mac 2011, Kementerian Pembangunan melalui JASTRe telah melancarkan inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik untuk Sabtu dan Ahad dengan tujuan untuk meningkatkan kadar konsep 3R (Reuse, Reduce, Recycle).

Hari Jumaat ditambah ke dalam inisiatif ini bermula pada 17 Februari 2012. Untuk rekod, ketika ini rakyat Brunei menghasilkan jumlah sampah per kapita 1.4 kilogram iaitu pengeluaran sisa pepejal tertinggi di rantau ASEAN.

Kerajaan Brunei berhasrat mengurangkan penggunaan beg plastik dan juga sisa buangan yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan serta dalam masa sama menyumbang kepada hanya 1 kilogram per kapita menjelang tahun 2035.

Sebanyak 189,000 tan sampah dibuang di tapak pelupusan setiap tahun, dengan 16 peratus daripada sisa pepejal dilupuskan itu adalah sisa-sisa plastik, mengikut statistik dan kaji selidik yang pernah dikeluarkan oleh JASTRe.

Lebih 40 negara sudah pun mengambil langkah terhadap pengurangan beg plastik sebagai contoh Bangladesh telah pun membuat larangan pada 2002 kerana isu banjir yang teruk, manakala China sebelum Sukan Olimpik 2008.

Bali, Indonesia juga menandatangani beberapa deklarasi untuk pelaksanaan langkah terhadap larangan beg plastik selepas pantai pulau peranginan popular itu terjejas teruk dengan masalah tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...