Brunei Lanjut Tempoh Moratorium Hukuman Mati LGBT

BANDAR SERI BEGAWAN – Sultan Brunei melanjutkan tempoh moratorium ke atas hukuman mati untuk undang-undang syariah di negara ini yang berkaitan penzinaan dan homoseksual ekoran kritikan global termasuk dari kalangan selebriti seperti George Clooney dan Elton John.

Reuters melaporkan, tindakan Brunei melaksanakan undang-undang syariah pada 3 April lalu dengan hukuman rejam dengan batu sampai mati itu menerima kritikan global termasuk yang menuduh Brunei melaksanakan hukuman tidak bertamadun dengan menjadikan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) sebagai sasaran.

Pentadbiran Brunei Darussalam di bawah pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah ‘dise­rang’ habis-habisan oleh negara barat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa ko­nonnya atas nama hak asasi manusia. Mereka menggesa Brunei menarik balik pelaksanaan hukuman tersebut dengan pelbagai hujah yang memualkan.

Pun begitu, Brunei konsisten mempertahankan haknya untuk melaksanakan undang-undang terbabit, ia kali pertama diperkenalkan pada 2014 dan dibatalkan secara berperingkat, sejak itu.

Bagaimanapun, dalam tindak balas jarang berlaku kepada kritikan, Sultan Hassanal Bolkiah memaklumkan hukuman mati tidak akan dilaksanakan dalam Perintah Kanun Keseksaan Syariah (SPCO).

“Sesungguhnya, banyak persoalan dan salah faham timbul mengenai pelaksanaan SPCO, namun saya yakin perkara ini selesai dengan merit undang-undang yang lebih jelas.

“Sejak lebih dua dekad, kita melaksanakan moratorium pelaksanaan hukuman mati untuk kes di bawah undang-undang ‘common law’. Ia juga akan dilaksanakan terhadap SCPO untuk pindaan lebih meluas,” katanya ketika berucap sempena awal Ramadan di sini hari ini. – Agensi

Loading...