Bos Amazon Catat Rekod Perceraian Termahal

NEW YORK – Lelaki terkaya di dunia, Jeff Bezos yang juga pemilik Amazon dan bekas isterinya Mackenzie, mencatat rekod perceraian termahal, berjumlah AS $35 bilion (RM143 bilion).

Mackenzie, 48, dilaporkan akan mengekalkan empat peratus pegangan saham dalam firma perniagaan runcit atas talian yang diasaskan Bezos, 25 tahun lalu.

Bezos, 55, pula kekal menguasai pegangan saham terbesar Amazon, selain itu Mackenzie turut melepaskan kepentingannya dalam akhbar Washington Post dan agensi pelancongan angkasa lepas, Blue Origin kepada bekas suaminya itu.

Dalam pengumuman menerusi laman Twitter, Mackenzie yang juga seorang penulis novel berjaya, bersyukur proses perceraian bersama bekas suami telah berakhir selain amat menghargai sokongan yang diterimanya.

Pasangan Bezos – Mackenzie yang mempunyai empat orang anak telah berkahwin sejak sebelum Bezos menubuhkan Amazon pada 1994, dan Mackenzie merupakan antara pekerja terawal yang berkhidmat di syarikat terbabit.

Menurut majalah Forbes, perceraian tersebut menjadikan Mackenzie wanita ketiga terkaya di dunia selepas pewaris L’Oreal, Francoise Bettencourt Meyers dan Alice Walton, pewaris perniagaan Walmart.

Laporan oleh sebuah majalah tempatan sebelum ini mendakwa Bezos menjalin hubungan bersama bekas hos Fox TV, Lauren Sánchez, namun Bezos menganggap dakwaan terbabit sebagai peras ugut. – Agensi

Loading...