Borhan: Sedih Lihat Mayat Wira Negara Digantung Jepun

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

APABILA terkenangkan kejadian menyayat hati yang berlaku 60 tahun lalu, hati saya benar-benar sedih. Ada kalanya saya merasa takut apabila terbayang mayat-mayat yang tergantung di atas pokok.

“Biarpun mayat-mayat tersebut diperlakukan sedemikian rupa, mereka tetap wira saya serta seluruh rakyat Singapura dan Malaysia,’’ cerita Borhan Muslim yang suatu ketika dahulu pernah tinggal di Kampung Chandu di kaki Bukit Chandu, benteng pertahanan terakhir British di Singapura sebelum menyerah kalah kepada Jepun pada 15 Februari 1942.

Lelaki tersebut yang kini berusia 82 tahun merupakan rakyat Singapura yang sempat menyaksikan kekejaman tentera Jepun terhadap anggota Rejimen Askar Melayu yang berjuang mempertahankan tanah air mereka di bukit berkenaan pada 13 dan 14 Februari 1942.

Di bukit itu jugalah Leftenan Datuk Adnan Saidi bersama anggota platunnya gugur selepas terlibat dalam pertempuran sengit dengan tentera Jepun.

Mengimbau lanjut kejadian yang disaksikan dengan mata kepalanya, Borhan berkata, beliau melihatnya secara tidak sengaja.

“Asalnya sebaik British menyerah kalah, saya dan adik sepupu saya mahu naik ke Bukit Chandu semata-mata untuk mencari makanan kerana sedang kelaparan. Sebaik berada di sebuah banglo di atas bukit tersebut yang menjadi kubu tentera British kami lihat ada tujuh mayat yang bergelimpangan di tingkat bawah.

“Kemudian kami nampak seorang pegawai tentera berpangkat tinggi mati tersandar di katil tepi tangga.

“Tetapi kami buat tidak tahu sahaja dan lekas-lekas mencari makanan.

“Sebaik naik ke tingkat atas pula, alangkah terkejutnya saya apabila terpandang dari tingkap banyak mayat yang berlumuran darah tergantung di atas pokok yang saya pasti itu adalah mayat Askar Melayu,’’ katanya sambil menitiskan air mata.

Menurutnya, pada waktu itu terdapat kira-kira 10 batang pokok yang tergantung mayat atau terdapat mayat yang diikat pada batangnya.

Pada salah satu pokok itu beliau melihat terdapat 13 mayat yang tergantung di situ dengan kebanyakannya kaki ke atas. Tangan mayatmayat itu turut diikat ke belakang.

Dari celah tingkap itu juga Borhan melihat kesemua pakaian mayat tersebut berlumuran darah serta mempunyai banyak lubang.

“Saya tidak tahu pakaian mereka berlubang kerana ditembak atau ditikam dengan benet tentera Jepun yang geram terhadap mereka. Apa yang pasti memang banyak kesan lubang pada setiap mayat,’’ terangnya.

Melihat keadaan itu, hati mereka berdua mula diselubungi rasa takut, lantas bergegas meninggalkan banglo tersebut untuk pulang ke rumah.

Malah beliau tidak berani untuk naik semula ke Bukit Chandu bagi 10 mencari makanan apatah lagi untuk menguruskan mayat-mayat tersebut kerana takut di samping bimbang terserempak dengan tentera Jepun.

Beliau yang ketika itu baru berusia 22 tahun turut bimbang akan timbul fitnah yang mengaitkannya dengan kematian perajurit berkenaan.

“Kerana itu saya tidak tahu apa yang terjadi kepada mayat-mayat berkenaan sama ada dikebumikan oleh orang atau tidak. Tambahan pula terlalu banyak mayat di situ,’’ katanya.

Selamatkan Askar Melayu

Sebelum menyaksikan peristiwa tragis tersebut, ketika dalam perjalanan untuk mendaki Bukit Chandu, Borhan sempat menyelamatkan seorang anggota Askar Melayu yang dikenalinya sebagai Koperal Husin kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Anggota tentera dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu itu mengalami kecederaan parah dan kurang bermaya ketika ditemui.

Melihat keadaannya itu, beliau lantas membawanya pulang ke rumah. Di rumah, Husin memintanya naik ke bukit tersebut untuk melihat keadaan di situ selepas berakhirnya pertempuran.

Husin turut memaklumkan bahawa setakat yang diketahuinya hanya beliau sahaja yang terselamat manakala yang lain-lain termasuk Adnan telah meninggal dunia.

Sebaik naik ke tingkat atas pula, alangkah terkejutnya saya apabila terpandang dari tingkap banyak mayat yang berlumuran darah tergantung di atas pokok yang saya pasti itu adalah mayat Askar Melayu.

Sepanjang berada di rumah Borhan, Husin dirawat oleh ibunya dengan diberi ubat berupa nasi yang dicampur daun dedap. Demi keselamatan perajurit itu juga, Borhan meminta Husin menanggalkan semua pakaiannya untuk ditanam bagi mengelakkan tentera Jepun mudah mengesannya.

Selain itu, beliau turut melarang Husin keluar dari rumah atau menyahut apa-apa panggilan dari luar rumah.

“Selepas merawatnya lebih 40 hari Husin sembuh sepenuhnya.

“Kemudian beliau meminta diri untuk pulang ke kampungnya di Pahang dan selepas itu sehingga sekarang saya tidak pernah lagi berjumpanya,’’ kata Borhan sambil memberitahu beliau teringin untuk berjumpa Husin yang menurutnya mungkin telah berusia sekitar 85 tahun jika masih hidup.

Menceritakan keadaan Bukit Chandu semasa pemerintahan Jepun pula, Borhan berkata, penduduk kampung dan tentera Jepun sendiri amat jarang naik ke atas bukit berkenaan.

Namun terdapat ramai penduduk kampung yang menanam ubi kayu di sekitar kaki dan lereng bukit itu sebagai sumber makanan utama. Ada juga yang memungut rumput tapak itik yang banyak tumbuh meliar di situ untuk dimakan.

“Lama-kelamaan kawasan tersebut semakin terbiar. Jika dulu ia hanya dikelilingi pokok-pokok kecil seperti senduduk tetapi lama kelamaan pokok-pokok yang lebih besar mengambil alih sehinggalah sekarang,’’ katanya.

Semasa pemerintahan Jepun di Singapura, Borhan turut melihat pelbagai kekejaman yang dilakukan oleh tentera negara matahari terbit itu.

Malah beliau sendiri nyaris dibunuh gara-gara cuba memberi makanan kepada seorang tahanan perang.

“Waktu itu saya dilantik Jepun sebagai mekanik dan penjaga gudang makanan dengan pangkat mejar.

“Disebabkan kasihan melihat tahanan perang yang kelaparan saya cuba nak hulur makanan secara senyap-senyap tetapi ternampak oleh seorang tentera Jepun. Akibatnya, tahanan tersebut dipukul dengan penyodok sehingga mati di depan mata saya,’’ katanya yang masih merasa ngeri jika teringat kejadian tersebut. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.