Bom, Peluru Hidup Ditemui Dalam Stor Pili Bomba

GEORGE TOWN – Polis menjumpai dua butir bom tangan dan lebih 600 butir peluru pelbagai jenis di dalam sebuah stor pili bomba di pangsapuri Taman Sinar Bukit Dumbar di sini malam tadi.

Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menemukan kesemua bom tangan dan peluru itu selepas menahan seorang lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah.

Sumber polis berkata, seorang lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan kira-kira 7.30 malam sebelum dia membawa ke stor tingkat 15, blok 98 pangsapuri berkenaan dan pemeriksaan di stor menemukan bom tangan dan peluru yang masih aktif.

“Berikutan penemuan itu, sepasukan polis daripada Unit Pemusnah Bom IPK Pulau Pinang telah pergi ke stor itu kira-kira pukul 9 malam bagi melakukan pemeriksaan dan meninggalkan stor berkenaan kira-kira 1 pagi dengan membawa bungkusan dipercayai mengandungi bom tangan,” katanya di sini hari ini.

Polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan pemilik bahan letupan itu termasuk tujuan ia disimpan di stor terbabit.

Polis juga mengambil keterangan beberapa penduduk di pangsapuri itu bagi membantu siasatan, katanya.

Loading...