Boleh Ke Sekolah Berpakaian Biasa Jika Belum Ada Seragam

KUALA LUMPUR – Murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian biasa sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

Kementerian Pendidikan memaklumkan kebenaran itu diberikan bermula 1 Mac hingga 26 Mac depan.

“KPM menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa mengenai peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak. 

“Untuk makluman, murid perlu memakai pakaian seragam sekolah untuk hadir ke sekolah seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah.

“Bagaimanapun, mengambil kira keadaan semasa, kementerian ingin memaklumkan murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah,” katanya. 

Katanya, kementerian berharap kebenaran ini akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

Pada 19 Februari lalu, kementerian mengumumkan tarikh pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Mac depan. – BH Online