Bola Sepak Eropah Bakal Saksikan Satu Kejohanan Baharu

SATU lagi pertandingan antara kelab Eropah bakal diperkenalkan bermula 2021, menambahkan lagi kejohanan selain Liga Juara-Juara dan Liga Europa, kata ketua persatuan pasukan-pasukan terbesar Eropah.

Pengerusi Persatuan Kelab Eropah (ECA), Andrea Agnelli, yang juga anggota jawatankuasa eksekutif UEFA berkata “lampu hijau sudah diberikan.”

Beliau tidak memberikan perincian tentang bagaimana kejohanan baharu itu akan dijalankan.

“Model sedia ada perlu diperbaharui,” kata Agnelli.

Agnelli yang juga pengerusi juara Itali, Juventus, berkata: “Satu penilaian terperinci kalendar perlawanan antarabangsa sedia ada perlu dilaksanakan sebelum memperkenalkan model baharu untuk tempoh selepas 2024.”

Bercakap di perhimpunan agung tahunan ECA di Croatia, beliau berkata kejohanan ketiga ini akan menambahkan jumlah kelab dalam bola sepak Eropah daripada 80 kepada 96 buah kelab.

Liga Juara-Juara menampilkan 32 buah pasukan di peringkat kumpulan dan kejohanan tahap kedua Liga Europa melibatkan 48 pasukan.

Piala Pemenang Piala untuk juara-juara piala liga dalam negara, ditamatkan pada tahun 1999.

Dalam satu kenyataan, UEFA berkata ia “sentiasa menilai format kejohanan dan sedang melihat beberapa pilihan.” – BBC

Loading...