Boikotlah Telefon Bimbit Sekali, Sindir Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kempen memboikot produk bukan bumiputera perlu dihentikan kerana bukan sahaja ia boleh menjejaskan perpaduan nasional malah turut merugikan pengguna.

Ini kerana pengguna tidak boleh membeli barangan yang lebih berkualiti pada harga yang lebih rendah, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, perbuatan memboikot produk bukan bumiputera itu sudah mencapai tahap yang mengganggu sehingga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri terpaksa memberi komen.

“Kalau begitu (mahu memboikot produk bukan bumiputera), produk-produk luar negara terutamanya telefon bimbit juga sepatutnya diboikot,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumpulan extremis perkauman dan agama sepatutnya patuh kepada nasihat Perdana Menteri yang mahukan pergerakan yang memboikot produk bukan bumiputera dihentikan, katanya.

Nasihat perdana menteri itu betul menurut Guan Eng kerana kempen yang dijalankan oleh sebahagian golongan yang berfikiran sempit tidak mampu membantu memperbaiki situasi sebaliknya menambah kemarahan sedia ada.

Guan Eng mendakwa, sekiranya PAS dan UMNO tidak menentang orang bukan Islam dan bukan Melayu, kedua-dua parti tersebut sepatutnya mengambil pendirian serupa dengan mengutuk kempen memboikot produk bukan bumiputera.

Tambahnya, rakyat Malaysia sepatutnya mengambil nasihat bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei yang mahukan semua penduduk bersatu dan menentang rasisme dan bertelagah sesama sendiri akibat isu-isu yang tidak penting.

Guan Eng juga berkata, seorang Cina mualaf dan pendakwah mendakwa orang Cina di Malaysia tidak seharusnya berpura-pura mencintai negara ini sekiranya mereka mengundi parti ultra-kiasu atau DAP apabila mereka menyokong pemain-pemain badminton China berbanding pemain tempatan seperti Misbun Sidek atau Chong Wei.