Boeing 747 Berada Di Tengah Sawah

BANGKOK– Sebahagian penduduk di sebuah perkampungan terkejut sebaik bangun pagi selepas melihat sebuah pesawat Boeing 747 berada di tengah-tengah sawah padi dalam satu kejadian baru-baru ini.

Pesawat jumbo milik syarikat penerbangan Thailand itu dikatakan secara tiba-tiba muncul di sebuah kawasan sawah padi di Chai Nat, utara Thailand dekat sini.

Kesemua pintu pesawat itu ditutup selain tidak dilengkapi dengan tangga sekali gus dikatakan mustahil untuk masuk ke dalam kapal terbang berkenaan.

“Saya terperanjat selepas buka pintu rumah pada awal pagi apabila dapati sebuah pesawat berada di hadapan rumah kami. Pada mulanya, saya menyangka ia kehabisan minyak dan terperangkap di perkampungan kami.

Tetapi apa yang pelik, tiada bunyi pesawat didengar,” kata seorang penduduk, Prae Anan. Namun, pemilik tanah itu, Somchai Phukieow mendakwa dia telah beli pesawat yang mahu dihapuskan dalam satu acara lelongan.

Dia mengangkut pesawat tersebut hanya dengan menggunakan sebuah lori sebelum ia dipindahkan dengan kren dan ditempatkan di kawasan berlumpur.

“Saya berbuat demikian untuk menjadikannya sebagai satu tarikan di perkampungan ini. Pengunjung juga boleh menyaksikan perlawanan bola sepak dan sukan motorcross yang diadakan di tanah lapang ini dari dalam pesawat itu,” katanya. – Agensi/Kosmo Online

Loading...