BNM Keluarkan Wang Kertas Peringatan Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR – Sebagai tanda ingatan dan penghormatan terhadap sumbangan Majlis Raja-Raja bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Bank Negara telah mengeluarkan wang kertas terbesar buat pertama kalinya dalam sejarah.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah berkenan merasmikan wang kertas komemoratif tersebut sempena ulang tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayi di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM).

Wang tersebut telah dikeluarkan dalam bentuk satu keping iaitu RM600 dengan nilai jualan RM1,700 sekeping; wang kertas bercantum tiga dalam satu RM60 yang dicantumkan menjadi RM180 dengan nilai jualan RM500 sekeping dan wang kertas sekeping RM60 dengan harga jualan RM120 sekeping.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim telah memberi ucapan dan berkata bahawa wang kertas peringatan yang bersaiz 370 mm tinggi dan 220 mm lebar itu merupakan wang kertas yang terbesar di dunia dengan reka bentuk yang berdasarkan ‘Raja Payung Kedaulatan Negara’ serta ciri-ciri keselamatan yang sangat tinggi.

“Tempahan untuk wang kertas edisi khas ini akan bermula 5 Januari depan. Jika jumlah tempahan melebihi jumlah 6,000 keping yang ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan mengikut undian,” kata beliau di dalam ucapannya dipetik daripada Bernama.

Dalam masa yang sama, Sultan Muhammad V turut telah melancarkan wang syiling peringatan bersempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Syiling tersebut telah dipersembahkan oleh Gabenor Bank Negara kepada baginda yang turut melawat Pameran Malaysia: 60 Cetera.

Wang syiling itu telah dikeluarkan dalam bentuk emas dengan nilai muka RM300 serta akan dijual melalui lelongan awam pada harga rizab RM4,000 sekeping serta duit syiling peringatan perak (nilai muka RM150 dan harga jualan RM200 sekeping) serta duit syiing peringatan tembaga (nilai muka RM15 serta harga jualan RM200 sekeping).

Selain itu, turut dikeluarkan syiling peringatan emas Nordic (nilai muka RM1 dab harga jualan RM11 sekeping).

Kesemuanya bakal dipamerkan kepada orang ramai bermula 21 Disember ini di Muzium dan Galeri Seni BNM serta pejabat-pejabat BNM di Pulai Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Orang ramai juga boleh membuat tempahan dalam talian mulai 5 Januari depan. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...