BNM Turun Kadar Faedah Tempoh 3-6 Bulan Akan Datang

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan kadar faedah utamanya dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, sebahagiannya disebabkan ekonomi dunia yang semakin merosot berikutan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang meningkat, kata Ketua Ekonomi CIMB Group, Dr. Donald Hanna.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 60 peratus peluang satu lagi penurunan kadar, malangnya, dengan jangkaan kenaikan tarif ke atas produk China pada September oleh AS, merupakan tamparan luaran kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Katanya, tempoh tiga hingga enam bulan akan datang akan turut bergantung kepada pelan Rizab Persekutuan AS mengenai dasar kadar faedahnya dan impak daripada tarif AS ke atas produk China.

“Tidak lama lagi bank pusat Asia lain akan mengikut hala tuju dasar pergerakan kadar faedah AS,” katanya kepada pemberita selepas Siri Jelajah Prospek Ekonomi Serantau ASEAN+3 2019 di sini hari ini.

Pada Mei lepas, BNM menurunkan kadar dasar semalaman kepada tiga peratus daripada 3.25 peratus sebelum ini, kali pertama ia menurunkan kadar sejak Julai 2016.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas AS$300 bilion lagi (AS$1=RM4.18) produk buatan China bermula 1 September, yang akan mengenakan cukai ke atas semua barangan China yang masuk ke AS.