BNM Beli Tanah 22 Hektar RM2 Bilion Bina Hab Global

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) membeli sebidang tanah seluas 22.58 hektar di ibu negara daripada kerajaan yang bernilai RM2 bilion, menurut laporan media tempatan.

Ia bakal digunakan untuk proses penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dan Akademi Kajian Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) yang baharu, kata BNM dalam satu kenyataan.

Tanah berkenaan terletak berhampiran Kompleks Sasana Kijang yang akan dilengkapi dengan kemudahan persidangan dan latihan bertaraf antarabangsa serta me­nempatkan pelbagai organisasi global.

Ini termasuk pembinaan sebuah kompleks Bank Dunia (WB), Pusat Latihan dan Kajian Bank-Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dan Alliance for Financial Inclusion (AFI).

Jelas BNM lagi, kawasan tersebut juga terletak berdekatan dengan kompleks Asia School of Business baharu dan Pusat Latihan Industri Kewangan yang sedang dibangunkan.

“BNM juga membangunkan hab pendidikan kewangan dan kemudahan latihan yang fokus kepada keupayaan teknikal bagi bakat dalam industri kewangan di tanah tersebut pada masa depan,” jelasnya.

Mengulas dengan lebih lanjut, BNM membe­ritahu, keseluruhan kawasan ber­kenaan akan direka dan diintegrasikan untuk menjadi hab pendidikan per­khidmatan kewangan yang bertaraf dunia.

“Ia dijangka menjadi pusat utama pembelajaran dan pendidikan antarabangsa untuk me­lahirkan kumpulan tenaga kerja tempatan secara berterusan bagi menyokong pembangunan industri kewangan domestik,” jelas BNM.

Jelas BNM lagi, kos penilaian harga tanah itu adalah seperti yang dipersetujui bersama oleh bank pusat ber­kenaan dengan kerajaan berdasarkan penilaian yang dibuat oleh jurunilai harta­nah bebas yang dilantik.

BNM yang ditubuhkan sejak 1959 dan diketuai seorang gabenor berfungsi mengeluarkan mata wang, sebagai jurubank dan penasihat kerajaan dan mengawal kedudukan kredit negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...