BN Terengganu Pastikan Peralihan Berjalan Lancar

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) Terengganu akan memastikan peralihan kuasa kepada PAS Terengganu berjalan dengan lancar di negeri itu.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meminta sedikit masa untuk tempoh bertenang dan membuat perancangan yang seterusnya.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Terengganu yang telah melaksanakan kewajipan mereka sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-14 semalam.

“Rakyat telah membuat pilihan dan kita hormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

“Saya juga bagi pihak Barisan Nasional Terengganu mengucapkan tahniah kepada PAS di atas kemenangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu apabila memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Ketika ini, perhatian tertumpu kepada pelantikan Menteri Besar Terengganu yang bakal menerajui kepimpinan negeri itu. – BERNAMA

Loading...