BN Rampas Kembali Semenyih

HULU LANGAT – Barisan Nasional (BN) menerusi gabungan UMNO-PAS berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas menang dengan majoriti 1,914 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh sebanyak 19,780 undi sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang mendapat sebanyak 17,866 undi.

Dua calon lagi iaitu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul mendapat undi sebanyak 847 undi manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng pula sekadar memperoleh 725 undi.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Semenyih, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar kira-kira pukul 9.20 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian dekat sini.

Menurut Mohd. Sayuthi, undi ditolak sebanyak 650 dan peratusan keluar mengundi sebanyak 73.24 peratus.

Kejayaan BN hari ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut dalam PRK selepas memenangi PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu.

Hadir sama menyambut kemenangan tersebut ialah Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN ONLINE

Loading...