BN Perak Berlapang Dada, Terima Kekalahan

IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak berlapang dada dan menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai transformasi yang menyokong sistem demokrasi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata pihaknya turut menghargai jasa dan sokongan rakyat terutamanya anggota parti dalam usaha mengekalkan BN Perak selaku kerajaan yang memerintah.

Beliau berkata BN Perak akan terus berfungsi selain melaksanakan peranan selaku pembangkang yang efisien dan berdaya saing bagi mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin PKR.

“Kita perlu bangkit atau dalam erti kata lain, jika ada kelemahan akan diperbaiki dan jika ada kesilapan, haruslah bermuhasabah diri serta diperbetulkan.

“Kepada seluruh rakyat Perak yang mengundi BN pada PRU kali ini, setinggi penghargaan saya ucapkan, marilah kita sama-sama pastikan keamanan dan kestabilan Perak terus terpelihara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Keputusan PRU14 menyaksikan PKR memenangi 31 daripada 59 kerusi dewan undangan negeri (DUN) selepas dua daripada Anggota DUN (ADUN) BN Perak melompat parti.

Ia turut menjadikan BN Perak kini hanya menduduki 25 daripada 27 kerusi sebelum ini manakala PAS, kekal tiga kerusi.

Mengulas mengenai tindakan dua ADUN BN yang melompat parti, Zambry berkata ia merupakan kejutan, namun keputusan itu harus dihormati semua pihak.

Katanya rakyat juga mampu menilai tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua mereka.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri Besar Perak enggan mengulas berhubung identiti dua ADUN yang melompat parti itu. – BERNAMA