Bn Pahang Yakin Pengundi Cameron Highlands Bijak Pilih Wakil Rakyat

19

LIPIS – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin pengundi di Parlimen Cameron Highlands bijak untuk memilih wakil rakyat yang terbaik untuk mewakili mereka pada pilihan raya kecil pada 26 Jan nanti.

Wan Rosdy berkata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu rakyat sendiri boleh menilai prestasi kerajaan pusat yang ditunjangi kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN).

“Kami serah kepada rakyat untuk buat keputusan dan rakyat sendiri dapat melihat usaha dan pencapaian yang telah kerajaan BN lakukan selama ini di Cameron Highlands.

“Selepas 9 Mei lalu, mereka sendiri telah dapat melihat dan mendengar sama ada menerusi media sosial mahupun media cetak, keadaan yang yang berlaku di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Back To School anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Kuala Medang, Lipis di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang Rozianis Mohd Noor.

Pada majlis itu Wan Rosdy menyampaikan bantuan persekolahan berupa pakaian dan kelengkapan persekolahan bernilai RM200 kepada 300 murid daripada empat sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan DUN Jelai.


Ia melibatkan murid Sekolah Rendah Kuala Medang, Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai, Sekolah Kebangsaan Mensun dan Sekolah Kebangsaan Telanuk melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM60,000.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata program tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan TNB itu sedikit sebanyak meringankan beban belanja ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghadapi sesi awal persekolahan anak-anak mereka.

“Di pihak kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang, kami turut membantu pelajar kurang berkemampuan pada sesi awal persekolahan dengan menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM150 seorang yang akan dibayar selewat-lewatnya minggu kedua Januari,” katanya.

Wan Rosdy berkata ia melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.4 juta. – BERNAMA