BN Johor Mahu Calon Tempatan Di Tanjong Piai

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor telah membuat ketetapan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah orang tempatan.

Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad yang mengesahkan perkara itu berkata, ketetapan itu telah pun dimaklumkan kepada parti komponen BN termasuk UMNO.

“Saya boleh sahkan bahawa kita akan mempunyai calon tempatan. Calon luar, Badan Perhubungan (UMNO) pun tidak setuju. Ia harus calon tempatan,” kata beliau di sini semalam.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata demikian ketika disoal mengenai kriteria calon yang telah ditetapkan untuk bertanding di kerusi terbabit.

Jawapan Hasni itu menolak spekulasi kononnya BN akan meletak calon luar untuk PRK itu.

Terdahulu, Hasni memaklumkan bahawa mesyuarat yang diadakan semalam belum memutuskan calon BN dari parti mana yang akan bertanding.

“Kita (BN) tidak perlu putuskan siapa calonnya hari ini kerana yang penting ialah mempersiapkan jentera tidak kira Wanita, Pemuda, Puteri ataupun rakan-rakan komponen seperti MCA dan MIC untuk menghadapi PRK.

“Kita merasakan peluang untuk menang adalah amat cerah, tetapi kita harus meneliti semua aspek, melihat keadaan semasa dan membuat beberapa pertimbangan,” katanya.

Ditanya bila nama calon akan diumumkan, Hasni berkata hanya masa akan menentukan.

Loading...