BN Jamin Beri Sokongan Agenda Kerajaan Libatkan Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan sentiasa menyokong penuh agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menjaga kebajikan rakyat termasuklah dalam memastikan sokongan majoriti dua pertiga diperoleh di Parlimen, kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau, yang ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata, BN tidak melihat memberi sokongan kepada kerajaan terutama melibatkan hal kebajikan rakyat sebagai satu masalah kerana BN terutamanya UMNO boleh menjadi pembangkang yang berkaliber terhadap kerajaan.

“Kita akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan PH dalam menjaga kebajikan rakyat dan ini termasuklah memberi sokongan dua pertiga majoriti terhadap apa sahaja rancangan mereka melibatkan rakyat,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata UMNO turut menghormati cadangan MCA yang menyatakan BN perlu dibubarkan bagi memberi ruang kepada proses rejuvenisasi gagasan pembangkang itu.

“BN menjalankan dasar berbincang melalui konsensus, jadi tiada masalah untuk kita menghormati cadangan MCA itu.

“Malahan, sebenarnya tidak timbul isu pembubaran, apa yang penting sekarang kita kena kaji landskap politik sekarang, yang penting kita fokus untuk memperkuatkan BN kembali,” katanya.

Perhimpunan Agung MCA ke-65 semalam sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Pengerusi BN Ahmad Zaid Hamidi berkata sementara beliau menghormati keputusan parti itu, dalam hal ini BN memerlukan kata sepakat semua parti komponen lain dalam perikatan itu. – BERNAMA

Loading...