BN Ada Peluang Besar Kekal Cameron Highlands

YAKIN… Barisan Nasional (BN) ada peluang baik untuk terus pertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan syarat dapat menggerakkan jenteranya secara efektif dan berkesan.

Bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, faktor geografi menyaksikan terdapat kawasan di kerusi berkenaan terletak di pedalaman dan sukar untuk dimasuki calon lawan yang lebih tumpu di sekitar bandar.

“Saya percaya kita ada peluang baik untuk mempertahankan kerusi Cameron Highlands tetapi mesti dapat melakukan kerja-kerja pilihan raya yang bersungguh-sungguh sebab kawasan itu kawasan pedalaman yang sukar.

“Kalau kita semua bersemangat, BN boleh pertahan kerusi itu berdasarkan kepada banyak kekecewaan hari ini dengan ketidakmampuan PH (Pakatan Harapan) tunaikan janji yang beri kesan kepada sikap rakyat,” katanya.

Bekas presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tengku Ampuan Fatimah hari ini.

Pada majlis itu, seramai 647 murid dari 14 sekolah kebangsaan di dalam DUN Bebar terima bantuan persekolahan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang dan beg sekolah sumbangan Najib selaku Ahli Parlimen Pekan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Januari ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands susulan keputusan Mahkamah Tinggi di ibu negara membatalkan kemenangan calon BN.

Malahan, penyandangnya sendiri, Datuk C. Sivarraajh turut dilarang bertanding semula ekoran dakwaan berlaku amalan rasuah di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...