Blogger Kecantikan Dikecam Solekan Berdarah David Dao

BLOGGER Kecantikan, Mykie, telah dikecam hebat selepas mengajar orang ramai menerusi YouTube dengan solekan berdarah, sama seperti wajah David Dao, ketika diseret dari pesawat United Airlines, minggu lepas.

Dia memuatnaik solekan berkenaan dalam video tutorial solekan menerusi saluran Glam&Gore dalam YouTube. Namun selepas mendapat kecaman ramai, video itu telah ditarik balik.

Dalam video itu, Mykie menceritakan panjang lebar mengenai solekan yang kelihatan sama seperti Dao, yang berdarah mulut selepas dipukul dan diseret keluar daripada pesawat terbabit ketika mahu menaiki penerbangan untuk ke Louiville, Kentucky.

Insiden itu menyebabkan Dao mengalami gegar otak, patah hidung dan hilang dua batang gigi. Dao telah menyediakan peguam untuk menyaman United Airlines.

Mykie, sebelum ini telah memuatnaik lebih 130 video dan mempunyai 2 juta langganan. – MYNEWSHUB.CC