Bilionair Paling Kaya Di Dunia Berjaya Sampai Ke Angkasa Lepas

TEXAS – Bilionair paling kaya di dunia, Jeff Bezos menghabiskan masa beberapa minit di angkasa lepas pada Selasa dengan menaiki roket dan kapsul buatan syarikatnya sendiri.

Ketika berlepas, roket New Shepard buatan syarikat Blue Origin yang membawa kapsul ke angkasa lepas berlepas dari pelabuhan angkasa lepas dekat Van Horn, Texas, Amerika Syarikat (AS).

Kapsul itu berpisah dari roket tersebut dan menyebabkan empat penumpangnya dapat merasai pengalaman berada dalam suasana hampir sifar graviti selama tiga atau empat minit di angkasa lepas.

Turut serta dalam penerbangan itu ialah adik Bezos, 53 Mark, bekas juruterbang, Wally Funk yang berusia 82 tahun dan seorang remaja berumur 18 tahun, Oliver Daemen.

Funk menjadi individu tertua terbang ke angkasa lepas manakala Daemen menjadi manusia paling muda berada di luar atmosfera bumi.

Semasa penerbangan itu, kapsul yang dinaiki Bezos tiba pada altitud kira-kira 106 kilometer iaitu 16 kilometer lebih tinggi daripada bilionair British, Richard Branson yang berlepas ke angkasa lepas pada 11 Julai lalu.

Branson bersama dua juruterbang dan tiga kakitangan syarikatnya menaiki kapal angkasa Virgin Galactic buatan syarikatnya sendiri.

Dalam pada itu, Daemen yang dipilih sebagi penumpang selepas pemenang pertama dalam lelongan tiket ke angkasa lepas tersebut yang bernilai AS$28 juta (RM118.63 juta) menangguhkan penerbangan atas alasan pertindihan jadual.

Bapa Daemen yang juga seorang jutawan dan pemenang tempat kedua dalam lelongan itu tetapi beliau memberikan peluang kepada anaknya bagi menggantikan dirinya untuk pergi ke angkasa lepas.

Kapsul itu selamat mendarat dengan menggunakan tiga payung terjun gergasi di utara tapak pelancaran roket New Shepard itu.

Bezos memiliki nilai kekayaan dianggarkan bernilai lebih AS$200 bilion (RM847.70 bilion). – Agensi