Bicara Tembak Jatuh MH17, Bermula Isnin Ini

AMSTERDAM – Hanya seorang daripada empat tertuduh dalam kes tembak jatuh pesawat MH17 akan diwakili oleh peguam Belanda, pada prosiding perbicaraan yang akan bermula Isnin ini.

Pegawai Kehakiman Media, Mahkamah District The Hague, Yolande Wijnnobel, berkata mahkamah tidak boleh mendedahkan nama tertuduh dan peguam yang akan mewakilinya.

Beliau bagaimanapun mengesahkan bahawa dua peguam Belanda ada berhubung dengan peguam Russia.

“Dua peguam dari Belanda berhasrat untuk mewakili salah seorang tertuduh pada perbicaraan nanti… Ini adalah kes jenayah Belanda dan hanya peguam Belanda boleh mewakili tertuduh di negara ini.

“Pada peringkat ini, jika tertuduh tiada peguam, mahkamah akan menentukan sama ada mereka tahu ada tuduhan dan perbicaraan terhadap mereka.

“Jika selepas siasatan mahkamah mendapati mereka mengetahui perkara itu, mahkamah akan meneruskan dengan perbicaraan tanpa kehadiran (tertuduh),” katanya kepada wartawan di Pusat Media, Kompleks Kehakiman Schipol di sini.

Pada 19 Jun tahun lalu, Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT), mengeluarkan waran tangkap ke atas tiga suspek warganegara Russia dan seorang warganegara Ukraine yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) di timur Ukraine pada 2014.

Siasatan diketuai kerajaan Belanda mengeluarkan waran itu kepada bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.

Menurut Pendakwa Raya Belanda, Fred Westerbeke, mereka adalah empat suspek yang akan dipertanggungjawabkan membawa senjata maut, BUK Telar ke timur Ukraine.

Pada Mei 2018, JIT mendapati peluru berpandu anti pesawat BUK yang menembak jatuh pesawat Boeing 777 berasal dari briged tentera Russia ke-53 yang berpangkalan di bandar Kurk, barat daya Russia.

Dalam perkembangan lain, Wijnnobel berkata perbicaraan kes itu akan tetap diteruskan seperti dijadualkan di sebalik penularan COVID-19 yang merekodkan kematian pertama di Belanda.

Wijnnobel bagaimanapun memberikan jaminan bahawa berkata pihaknya akan membuat pemantauan dari masa ke semasa.

Wijnnobel berkata, Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kebangsaan Belanda (RIVN) turut mengeluarkan cadangan yang akan diguna pakai oleh pihak mahkamah.

“Jadi jika ada perkembangan selanjutnya, kami akan memaklumkan kepada media … tetapi buat masa sekarang perbicaraan akan berjalan seperti biasa,” katanya. – BH Online

Loading...