Bicara Kes Najib, Irwan 52 Hari Bermula Januari

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 52 hari bermula 6 Januari tahun depan bagi perbicaraan kes pecah amanah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ketika pengurusan kes dengan dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dan peguam-peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Datuk K. Kumaraendran bagi pihak Irwan.

Mahkamah turut menetapkan beberapa tarikh bagi bulan Februari hingga April untuk perbicaraan kes tersebut.

Sementara itu, Hakim Mohd. Nazlan berkata, tarikh perbicaraan kes berkenaan yang sebelum ditetapkan selama 28 hari bermula 8 Julai hingga 22 Ogos ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn. Bhd.

Najib, 66, dan Irwan Serigar, 62, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Kerajaan Malaysia berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya sebagai penjawat awam iaitu masing-masing atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan telah diamanahkan ke atas harta iaitu wang antara RM220 juta dan RM1.3 bilion milik Kerajaan Malaysia didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap harta tersebut.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Loading...