Biar SKMM Buat Kenyataan Isu Sajjad – Gobind

SEREMBAN – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengeluarkan kenyataan berhubung kes usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

Beliau berkata SKMM selaku badan penguat kuasa lebih mengetahui mengenai status siasatan dan keputusan yang dibuat.

“Pada saya, sesiapa pun boleh membuat laporan kepada polis atau SKMM, tetapi adalah menjadi tanggungjawab kepada SKMM atau polis atau yang menerima laporan itu untuk membuat satu keputusan sama ada hendak mengambil tindakan (atau sebaliknya). Itu di bawah bidang kuasa mereka.

“Saya rasa sekiranya satu kenyataan akan dibuat, biar SKMM yang buat kenyataan kerana mereka yang tahu mengenai status siasatan, keputusan yang dibuat dan sebagainya dan kita di peringkat kementerian, kita biarkan siasatan apa jua kes kepada mereka mengikut undang-undang,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan SKMM terhadap Muhammad Sajjad yang memuat naik pelbagai video dan gambar yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika menunaikan umrah. Ia kemudian tular di media sosial.

Pada Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dilapor berkata beliau masih menunggu tindakan SKMM dan agensi pelancongan Albayt Travel (M) Sdn. Bhd. terhadap Muhmmad Sajjad sebelum memikirkan langkah seterusnya termasuk berjumpa dengan usahawan kosmetik itu.

Terdahulu, Gobind menghadiri program ‘Info On Wheels’ di Pasar Besar Seremban yang turut dihadiri timbalannya Datuk Eddin Syazlee Shith dan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman.

Loading...