Biar Polis Siasat Dakwaan Dicabul Anggota Parlimen

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan cabul remaja…

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan cabul remaja bawah umur membabitkan seorang anggota Parlimen di Perlis.

Beliau mengakui telah menerima laporan berhubung kes itu daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Ya, saya terima laporan daripada Ketua Polis Negara dan saya serahkan segala urusan kepada pihak polis nak siasat, nak dapatkan informasi, terserah kepada polis. Biar polis buat siasatan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas laporan polis yang dikatakan dibuat baru-baru ini berhubung perlakuan ahli politik berkenaan sebelum ia ditarik balik pada hari sama.

Mengulas laporan bahawa UMNO sudah menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang mungkin menjurus kepada pengharaman parti itu, Muhyiddin menyerahkan tindakan lanjut sepenuhnya kepada RoS.

“Saya tidak pasti surat tunjuk sebab itu dikeluarkan bertujuan membubarkan UMNO atau adalah isu pentadbiran kerana RoS bertanggungjawab terhadap perjalanan semua pertubuhan yang didaftarkan di bawah pendaftar pertubuhan ini.

“Jadi tiap-tiap tahun kena dapatkan maklumat tentang perjalanan parti atau pertubuhan, dan sekiranya didapati ada perkara yang tidak mengikut peraturan atau tidak menepati perlembagaan parti, itu tugas RoS,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menarik perhatian RoS pernah mengeluarkan perintah pembubaran sementara kepada PPBM sebelum ini kerana tidak hantar dokumen yang diperlukan. – BERNAMA

Loading...